Pegawai polis maut dalam kemalangan

Pegawai polis maut dalam kemalangan

Kota Kinabalu: Seorang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan rakannya maut dalam kemalangan di Jalan Lintas, Metrotown, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, Azrini @ Azrin Abu Bakar, 42, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak dan Dylevia Dewalter, 38, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth Elizebeth II (HQEII).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan Nissan Almera yang dipandu mangsa wanita terbabit dipercayai bergerak dari arah Citymall menuju ke Jalan Tuaran Bypass.

Katanya, kemalangan berpunca daripada kenderaan mangsa yang terbabas sendiri sebelum merempuh pokok di tengah jalan berkenaan.

“Kedua-dua mangsa dikatakan tercampak keluar dari kenderaan sebelum ditemui di dalam parit pembahagi jalan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Bahagian Kecemasan HQEII sebelum disahkan meninggal dunia ketika diberikan rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, ketika kejadian keadaan jalan lengang dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|