Gagal pimpin parti punca pemimpin lari

Gagal pimpin parti punca pemimpin lari

Kota Kinabalu: Kegagalan kepemimpinan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengemudi parti dilihat antara sebab wakil rakyatnya mengambil tindakan meninggalkan parti itu.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Semporna, Nixon Abdul Habi, mendakwa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meninggalkan WARISAN setakat ini sudah hilang sabar dan keyakinan terhadap presiden mereka.

Beliau mendakwa, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang mengumumkan keluar parti Jumaat lalu dan ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang keluar parti awal tahun ini bertindak atas kesedaran dan keinginan mereka sendiri.

“Pemimpin senior dan berpengalaman seperti ADUN Sindumin mesti sudah hilang sabar dan keyakinan terhadap presiden parti kerana kegagalannya menentukan halatuju dan tujuan perjuangan parti berkenaan.

“Presiden parti yang menjadi masalah. Ketika berkuasa, dia kata Sabah untuk Sabahan tetapi selepas kalah Pilihan Raya Negeri (PRN) dia mahu mengembangkan sayap ke Semenanjung, menyokong perpaduan.

“Sedangkan dia tidak boleh menyatukan dan memimpin parti serta YBnya..dua sudah keluar, Sebatik dan Sindumin. Kini dia menyalahkan orang lain walaupun YB yang keluar parti bertindak atas kehendak mereka sendiri.

“Mereka tidak dipikat dan tidak menghasut orang lain untuk keluar. Mereka sedar bahawa perjuangan Shafie dan WARISAN tidak berguna serta membuang masa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nixon mendakwa tujuan utama WARISAN sebelum ini adalah untuk menjadikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri dan kini sebagai Perdana Menteri pula.

Beliau turut mendakwa, Ahli Parlimen Semporna itu tidak ikhlas kerana bercakap tidak serupa bikin terutama yang berkaitan dengan soal perpaduan.

“Apabila di KK, dia akan cakap Bajau dan KDM mesti bersatu tetapi apabila di kawasan Bajau, dia akan cakap mesti sokong WARISAN, parti dominan Bajau. Beliau memperbodohkan ahli parti dan penyokongnya sendiri.

“Kenapa sebuah syarikat dari Semenanjung diberi layanan utama berbanding syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) seperti Warisan Harta, Suria Capital, SEDCO,” soalnya.

Dakwa Nixon, atas kegagalannya sendiri dan apa yang dilakukan Mohd Shafie sebelum ini, ADUN Senallang itu menyalahkan orang lain pula.

Beliau berkata, Mohd Shafie perlu mengasihani penyokong partinya sendiri dan berhenti memperbodohkan rakyat selain turut memintanya bersara daripada terus menjadi beban kepada rakyat dan parti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|