Kota Kinabalu: Rakyat negeri ini diingatkan supaya memanfaatkan kebenaran rentas daerah yang bermula hari ini dan rentas negeri mulai 1 November depan dengan sebaik mungkin berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Fairuz Renddan, berkata pematuhan SOP perlu terus dititikberatkan di samping kawalan kendiri bagi mengelak penularan Covid-19 selepas tiada lagi sekatan pergerakan dikenakan.
Katanya, kelonggaran diberikan kerajaan itu perlu digunakan dengan sebaiknya dalam usaha untuk memulih dan meningkatkan semula ekonomi diri, keluarga dan negeri.
“ARMADA negeri menyambut baik pengumuman Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semalam dan kita merasakan perkara ini amat wajar kerana sudah pasti masyarakat akan memanfaatkan peluang ini untuk bergerak bagi mencari kembali sumber pendapatan dan meneroka peluang pekerjaan.
“Selain itu, saya yakin ramai anak muda yang bekerja di bandar mahu pulang ke kampung halaman untuk berjumpa ibu ayah yang mungkin sudah lama tidak bersua kerana kekangan pandemik dan Sekatan Jalan Raya (SJR) di sempadan- sempadan daerah.
“Namun harus diingat, kita perlu terus menjaga SOP kerana ibu bapa di kampung adalah golongan warga emas dan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19. Kita berharap semoga semuanya baik-baik sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan turut mengingatkan ibu bapa supaya menitikberatkan keselamatan anak-anak khasnya yang berumur bawah 12 tahun ketika dibawa keluar bersama.
Jelasnya, ibu bapa mesti peka terhadap keselamatan anak-anak yang belum menerima vaksin kerana mereka masih lemah dan mudah dijangkiti jika terdedah memandangkan belum mendapat pelalian Covid-19.
“Jika tiada keperluan, elakkan membawa anak-anak kecil daripada bersesak di tempat awam, namun boleh jika ingin membawa anak beriadah di taman bagi mengisi masa rehat.
“Apa yang penting hendaklah terus jaga kebersihan diri dan kesihatan dengan membuat pemantauan sekiranya melihat sebarang perubahan kesihatan anak-anak kita ini,” katanya.
Beliau yakin pengumuman kerajaan membenarkan rentas daerah di seluruh negeri mulai hari ini melegakan banyak pihak, sama ada rakyat biasa, golongan belia yang mencari pekerjaan, ibu bapa di kampung, murid dan pelajar serta rakyat keseluruhannya.
Sementara itu, Fairuz turut mengingatkan individu yang belum menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkannya segera demi kepentingan bersama.
“Kita mahu semua rakyat di negeri ini selamat dan dilindungi, jadi kepada mereka yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19, segeralah berbuat demikian untuk kita lindungi diri kita, insan tersayang dan semua di sekeliling kita, insyaAllah,” katanya.
-Deasoka