Bidang kemahiran pelengkap akademik pelajar – Bung Moktar

Bidang kemahiran pelengkap akademik pelajar – Bung Moktar

Kinabatangan: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan golongan pelajar di Sabah agar mempunyai kesedaran untuk melengkapkan diri dengan kemahiran lain di samping pencapaian yang baik dalam akademik.

Beliau berkata, ia penting bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka apabila sudah menamatkan persekolahan.

Katanya, selain pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, pelajar juga perlu memberikan tumpuan kepada bidang kemahiran yang amat diperlukan untuk memasuki alam pekerjaan seiring dengan perkembangan semasa.

“Selain tumpuan kepada bidang akdemik, pelajar juga jangan ketepikan bidang teknik dan vokasional ini disebabkan bidang ini dapat menjadikan golongan pelajar sebagai modal insan berkemahiran tinggi, berinovasi serta mampu menghadapi cabaran alaf baharu yang relevan dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Ceria Ke Sekolah anjuran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di pejabat pendidikan daerah Kinabatangan, di sini, baru baru ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata Sabah memerlukan ramai modal insan berkemahiran dalam bidang teknik dan vokasional yang kini dianggap sebagai pilihan baharu di samping aliran pendidikan biasa.

“Jika kita (pelajar) kurang cemerlang dalam bidang akademik jangan mudah berputus asa kerana bidang kemahiran adalah pilihan terbaik yang boleh mencorak masa depan untuk mencari bidang pekerjaan,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kerajaan terus memperkasa bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dengan peruntukan sebanyak RM6 bilion.

Katanya, sebanyak RM300 juta disediakan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK iaitu peningkatan RM100 juta.

“Golongan pelajar perlu memanafaatkan peluang ini dengan melihat bidang kemahiran sebagai satu landasan terbaik untuk mereka mencorak masa depan ke arah kejayaan,” katanya.

Tambah Bung Moktar lagi, ibu bapa juga perlu memberikan galakan kepada anak-anak mereka untuk belajar dalam bidang kemahiran selain bidang akademik.

Sementara itu, mengulas program bersama SESB itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, berkata kerajaan mengalu-alukan kerjasama agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memajukan modal insan melalui pendidikan di negeri ini.

Beliau berkata sinergi pihak berkaitan menerusi perkongsian idea pintar dan bantuan yang lain mampu memaksimumkan kualiti pendidikan di negeri ini.

“Agenda memperkasa modal insan adalah suatu usaha berterusan dan ia tidak akan berjaya sekiranya tiada kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|