Covid-19 Sabah: Turun 60 kes hari ini

Covid-19 Sabah: Turun 60 kes hari ini

Kota Kinabalu: Sabah mencatat sedikit penurunan kes Covid-19 kepada 691 kes hari ini berbanding 751 kes yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata secara keseluruhan sebanyak 14 daerah mencatat penurunan kes, manakala 13 daerah berlaku peningkatan.

Katanya, tiada daerah yang mencatat kes pada tiga angka, manakala sebanyak tujuh daerah mencatat kes baharu satu angka.

“Bagi bandar utama iaitu Kudat, Kota Kinabalu dan Tawau, ia merekodkan peningkatan kes namun hanya satu angka, manakala bandar lain merekodkan penurunan kes pada hari ini.

“Antara daerah yang mencatatkan peningkatan kes yang ketara ialah Kota Marudu (+26 kes), Pitas (+26 kes), Ranau (+25 kes) dan Kunak (+11 kes).

“Daerah yang merekodkan penurunan kes ketara pula ialah Sandakan (-39 kes), Beaufort (-29 kes), Kota Belud (-24 kes), Putatan (-18 kes), Penampang (-15 kes), Lahad Datu (-13 kes), Tenom (-12 kes) dan Keningau (-10 kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masidi berkata, kes yang didaftarkan dalam tempoh 24 jam lalu ialah sebanyak 466 kes atau 67.44 peratus daripada jumlah kes harian, manakala selebihnya adalah kes yang didaftarkan selepas dua hari keputusan diketahui.

Katanya, daripada jumlah kes jangkitan baharu yang direkodkan hari ini, 14.62 peratus adalah Kategori 1 dan 81.62 peratus adalah Kategori 2.

“Jumlah pesakit Kategori 3 pula ialah dua orang, diikuti tiga orang dalam Kategori 4 dan tiga orang lagi dalam Kategori 5. Sebanyak 18 kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Masidi mengulangi peringatan kepada masyarakat negeri ini supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan kendiri bagi mengawal jangkitan baharu Covid-19 ketika pelbagai sektor ekonomi dan kemudahan awam dibuka bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|