UMS jalin kerjasama baharu dengan universiti di China

UMS jalin kerjasama baharu dengan universiti di China

Labuan: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) bakal mengadakan kerjasama pelbagai bidang dengan Shenyang Aerospace University (SAU), China.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FKI hari ini, satu perbincangan awal di antara kedua pihak sudah diadakan baru-baru ini membabitkan kakitangan pengurusan tertinggi FKI dan SAU.

Perbincangan itu, kata kenyataan berkenaan bukan saja memfokuskan ruang kolaborasi FKI dengan College of Computer Science SAU tetapi turut melihat potensi kerjasama dalam konteks yang lebih menyeluruh.

“Antara yang dibincangkan termasuklah program pertukaran pelajar dan pensyarah, penyeliaan bersama pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD), kerjasama penyelidikan, dan pelaksanaan program ‘double degree’ antara kedua-dua universiti,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan secara dalam talian yang dihadiri Dekan Institute of International Education (IIE), Prof Madya Pearl Liu Ping; Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS, Prof Dr Abdullah Gani; dan Timbalan Dekan Faculty of Computer Science (FCS) SAU, Prof Madya Leon Zhao Liang.

Hadir sama ialah Pengarah International Exchange and Cooperation Office in IIE, Maggie Yu; dan Pengarah Academic Management Office in IIE, Cathy Chang.

Kenyataan itu turut menyebut, pihak SAU juga menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan fakulti yang mengkhususkan pengajian dalam bidang ekonomi di UMS.

Jelasnya, perbincangan lebih lanjut berhubung hasrat kerjasama itu akan diadakan pada masa hadapan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|