PPM gagalkan cubaan seludup rokok bernilai RM65,180

PPM gagalkan cubaan seludup rokok bernilai RM65,180

Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini merampas rokok seludup bernilai RM65,180 di kawasan Laut Tanjung Manimpa Pulau Bum Bum, di sini, malam tadi.

Kejadian jam 8 malam itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang tangkapan selepas pengendali bot berkenaan bertindak melarikan diri meninggalkan bot laju bersama rokok seludup berkenaan.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, aktiviti berkenaan selepas bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan sedang dijalankan.

Katanya, ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, suspek bertindak melarikan diri ke kawasan cetek sebelum menghilangkan diri selepas menyedari kehadiran Polis.

“Pemeriksaan terhadap bot menemukan beberapa kotak besar rokok pelbagai jenama yang dipercayai dibawa masuk ke Malaysia dari negara jiran Filipina tanpa cukai.

“Rampasan kemudiannya dibawa balik ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM65,180 berdasarkan harga pasaran semasa dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Wilayah Empat Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|