Lebih banyak SRS perlu diwujudkan

Lebih banyak SRS perlu diwujudkan

Tawau: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merancang untuk mewujudkan lebih banyak Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan perkampungan atas air dan pesisir pantai.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, peranana anggota SRS dilihat banyak membantu pasukan keselamatan dalam menguatkuasakan operasi Op Benteng.

Katanya, sejak penubuhan SRS di tiga kampung di Tawau iaitu Kampung (Kg) Batu Payung, Kg Tinagat dan Kg Membalua, kadar jenayah jenayah semakin berkurangan.

“Kejayaan di semua kampung ini membuka cara berfikir khas dalam ESSCOM memperluaskan lagi penubuhan SRS di setiap kawasan zon.

“Sejak diadakan SRS disini, banyak bot berjaya dihalang masuk dan saya ada statistik kejayaan SRS di tiga kampung ini. Sebanyak 32 orang berjaya ditangkap atas kesalahan PATI, penyeludupan barangan kawalan, tekong darat dan dadah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, operasi SRS turut berjaya merampas satu laras senapang angin dan lapan kenderaan berkaitan jenayah.

Katanya, dalam masa sama, aktiviti SRS ini juga berjaya membantu sehingga tertangkapnya seorang lelaki bersama 303 kilogram dadah.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peranan SRS di tiga perkampungan di pesisir pantai ini patut dicontohi.

Katanya, ia patut diperluaskan demi membantu pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan kampung.

“Saya berharap program ini dapat berterusan dan dapat dibawa ke kampung-kampung lain khususnya kawasan hotspot yang sering berlaku jenayah seperti penyeludupan manusia, penyeludupan barang larangan seperti syabu dan sebagainya.

“Apa yang lebih penting, kampung kita akan selamat daripada jenayah keganasan seperti apa yang berlaku di kampung Tanduo,” katanya.

Untuk rekod, SRS di tiga kampung berkenaan disertai seramai 43 ahli membabitkan anggota Rela, penjawat awam dan penduduk kampung.

Mereka ditugaskan untuk menjalankan pemantauan secara bergilir terutamanya pergerakan bot di laut pada waktu malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|