Kehadiran solat Jumaat ditingkatkan kepada 50 peratus kapasiti masjid

Kehadiran solat Jumaat ditingkatkan kepada 50 peratus kapasiti masjid

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri membenarkan kehadiran solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah ditingkatkan kepada 50 peratus kapasiti masjid dan surau, bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Covid-19 berkaitan aktiviti masjid dan surau, semalam.

Katanya, keutamaan hadir ke masjid dan surau untuk solat berjemaah bagaimanapun diberikan keutamaan kepada individu yang sudah engkap vaksin Covid-19.

Beliau berkata, selain solat berjemaah, aktiviti lain seperti kuliah agama dan majlis akad nikah turut dibenarkan diadakan di masjid dan surau mengikut bilangan kapasiti yang dibenarkan.

“Bagi solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah, bilangan jemaah yang dibenarkan hadir ke masjid atau surau adalah 50 peratus daripada kapasiti masjid dan surau dengan penjarakan satu meter.

“Aktiviti masjid dan surau dibenarkan seperti kuliah maghrib, kuliah dhuha, kelas agama dan seumpamanya mengikut bilangan kapasiti yang dibenarkan. Mesyuarat agung jawatankuasa masjid dan surau juga termasuk dalam kebenaran ini.

“Majlis akad nikah pula dibenarkan diadakan di dewan atau ruang khas masjid mengikut kapasiti dewan dan ruang khas berkenaan,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Kerajaan negeri sebelum ini hanya membenarkan kehadiran maksimum sehingga 300 jemaah untuk solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah di masjid utama seluruh negeri.

Masidi juga berkata pengurusan jenazah dan ziarah kubur turut dibenarkan namun terhad dengan kehadiran tidak lebih 30 orang.

Beliau turut menasihatkan supaya umat Islam di negeri ini mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa negeri dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|