Tujuh ditahan, wang taruhan lumba haram dirampas

Tujuh ditahan, wang taruhan lumba haram dirampas

Tawau: Tindakan tujuh lelaki berlumba haram akhirnya membawa padah apabila semua mereka ditahan dalam Ops Samseng Jalanan, di kawasan Balung dan Rancangan Batu 22, di sini, semalam.

Malah semua mereka yang berusia 21 hingga 30 tahun itu turut dikenakan kompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, semua mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau antara jam 4 pagi hingga 10.30 pagi.

Katanya, sebanyak dua unit motosikal, tiga kereta dan dua kenderaan pacuan empat roda disita.

“Polis turut merampas wang tunai RM10,437 dipercayai wang pertaruhan bagi aktiviti lumba haram berkenaan.

“Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Peter berkata, tujuh individu yang ditahan mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibebaskan selepas dikompaun.

Katanya, seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta yang membawa kenderaan dengan kelajuan yang tinggi dan berbahaya masing-masing ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 dan Seksyen 81(1) akta sama katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|