Kota Kinabalu: Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP), hari ini, tampil membuat laporan polis berhubung perhimpunan besar-besaran membabitkan ahli Parlimen di Dataran Merdeka, di ibu negara, semalam.
Laporan polis itu dibuat Naib Ketua Pemuda SAPP, Dexter Chin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Kepayan, di sini, hari ini.
Dexter dalam kenyataannya berkata, laporan itu dibuat susulan beberapa rakaman yang tular menunjukkan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) secara jelas.
Katanya, sikap ahli parlimen yang hadir di perhimpunan berkenaan memberikan contoh buruk kepada rakyat.
“Dalam rakaman itu, ahli Parlimen dengan sengaja melanggar SOP. Mereka dengan jelas dilihat tidak menjaga penjarakan sosial.
“Mereka sengaja berkumpul walaupun tahu sidang Parlimen sudah ditunda, ini jelas memberikan contoh buruk kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Hadir sama, Ketua Penerangan Pemuda SAPP, Charles Gokin.
Dexter berkata, antara ahli Parlimen yang dilihat hadir di Dataran Merdeka itu termasuk Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Turut hadir pada perhimpunan itu, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew dan beberapa lagi pemimpin pembangkang lain.
Dexter berkata, pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang jelas melanggar SOP terutamanya dalam usaha menurunkan pandemik Covid-19.
-Deasoka