Warga emas cetus Kluster Sangkabok di Kuala Penyu

Warga emas cetus Kluster Sangkabok di Kuala Penyu

Kota Kinabalu: Seorang wanita warga emas yang mempunyai sejarah perjalanan merentas daerah untuk mendapatkan rawatan kesihatan mencetuskan Kluster Sangkabok di Kuala Penyu, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes indeks berumur 62 tahun itu dilaporkan pernah berulang alik ke daerah Beaufort bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Katanya, wanita berkenaan kemudian dikesan positif Covid-19 selepas menjalani saringan bergejala di sebuah klinik swasta pada 16 Julai lalu.

“Kluster Sangkabok di daerah Kuala Penyu itu adalah kluster jenis komuniti yang menular di Kampung Sangkabok dan Tanjung Aru, Kuala Penyu.

“Berdasarkan maklumat, kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke daerah Beaufort untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

“Saringan kontak rapat dan kontak sosial setakat hari ini, mencatat jumlah kumulatif 33 kes termasuk empat kes baharu pada hari ini,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Hari ini Sabah mencatat 1,010 kes baharu positif Covid-19 dengan 12 kematian, iaitu empat di Kota Kinabalu, masing-masing tiga di Sandakan dan Tawau serta masing-masing satu kes di Tuaran dan Putatan.

Sementara itu, Masidi berkata golongan belum layak divaksin termasuk bayi dan kanak-kanak menjadi golongan kedua paling ramai dijangkiti Covid-19 hari ini iaitu seramai 282 kes.

Katanya,186 kes membabitkan individu berumur enam tahun hingga 17 tahun, diikuti kanak-kanak berumur setahun hingga lima tahun (84 kes) dan bayi berumur di bawah setahun (12 kes).

Beliau berkata, golongan berumur 18 tahun hingga 59 tahun adalah yang paling ramai dijangkiti iaitu seramai 656 orang, diikuti warga emas berumur 60 tahun ke atas sebanyak 72 kes.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|