Sabah FC teruskan misi buru 3 mata malam ini

Sabah FC teruskan misi buru 3 mata malam ini

Kota Kinabalu: Kehadiran semula beberapa tonggak utama yang tidak beraksi minggu lalu meyakinkan Sabah FC untuk tampil lebih bertenaga dalam misi memburu tiga mata menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Likas, malam ini.

Pengendali Sang Badak itu, Kurniawan Dwi Yulianto, berkata misi kali ini penting selepas Sabah FC gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan pusingan kedua Liga Super sebelum ini.

“Perlawanan malam ini sangat penting kerana kita perlu meraih tiga mata penuh untuk mengukuhkan peluang serta memperbaiki kedudukan Sabah FC di tangga liga.

“Paling menggembirakan, semua pemain dapat beraksi kecuali penyerang import, Josip Ivancic yang cedera ketika aksi menentang Terengganu FC minggu lalu dan Park Taesu yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Kurniawan berkata ketika sesi latihan terakhir skuad badak petang semalam, beliau sudah mengenal pasti calon terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Josip dan Taesu.

“Kita mempunyai beberapa pemain yang tidak beraksi di Kuala Terengganu minggu lalu seperti Alto Linus dan Randy Baruh yang kini berada pada tahap terbaik untuk diturunkan dalam kesebelasan utama malam ini.

“Kehadiran mereka sudah tentu memberi impak positif buat Sabah FC dalam aksi pertemuan menentang KL City FC malam di Stadium Likas.

“Saya berharap apa yang dirancang dapat dilaksanakan malam esok sekali gus meraih tiga mata penuh selain doa daripada penyokong dan peminat setia Sabah FC di seluruh negeri,” katanya.

Sabah FC berjaya meraih satu mata selepas seri tanpa jaringan pada aksi pusingan pertama Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebelum ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|