Berkongsi ilmu perguruan melalui sesi PLC Kopi O Pulut Panggang

Berkongsi ilmu perguruan melalui sesi PLC Kopi O Pulut Panggang

Labuan: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) berjaya menarik warga guru seluruh negara untuk berkongsi ilmu perguruan melalui sesi Professional Learning Community (PLC) Kopi O Pulut Panggang Siri 2 yang diadakan secara dalam talian, baru-baru ini.

Program santai yang dikelolakan oleh Sektor Perancangan JPWPL itu menampilkan pensyarah cemerlang dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar Negeri Sembilan, Dr Zailah Zainudin sebagai penceramah.

Bertemakan ‘Kajian Tindakan dan Penyelidikan Berpusah Tiada’, Zailah berkongsi pengalaman beliau menggunakan reka bentuk kajian tindakan ketika melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah (PhD).

Mengimbas pengalaman ketika mula-mula menceburi bidang penyelidikan, beliau sebagai seorang guru biasa tidak begitu memahami istilah dan kaedah penyelidikan yang sebenar.

Namun peluang mewakili sekolah membuat pembentangan kajian tindakan di Terengganu sekitar tahun 90-an mencetus minat beliau dalam membuat kajian tindakan secara lebih mendalam.

“Ketika itu saya tidak mempunyai satu bentuk rujukan penyelidikan yang mudah untuk saya fahami.

“Maka dari situ tercetuslah idea untuk menggunakan reka bentuk kajian tindakan ini,” katanya yang juga pelopor kepada kajian tindakan di Malaysia.

Menurutnya, sebelum 2000, kajian tindakan tidak diiktiraf sebagai satu kajian ilmiah dan tidak diterima untuk ‘proposal’ kajian di peringkat yang lebih tinggi.

Namun begitu, katanya, situasi itu berubah dan kini kajian tindakan adalah suatu reka bentuk yang sah dan setaraf dengan reka bentuk kajian yang lain.

“Sebenarnya kajian tindakan adalah satu reka bentuk kajian yang sangat rapat dengan guru terutamanya dalam meningkatkan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dari semasa ke semasa.

“Selain itu, kajian tindakan ini juga dapat dikongsi dengan rakan-rakan guru yang lain untuk manfaat bersama,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program yang juga Penolong Pengarah di Sektor Perancangan JPWPL, Faridah Amit berkata penganjuran PLC bertujuan memberi perkongsian ilmu secara berterusan terutamanya kepada alumni Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah (KT12L).

“Kita akan terus menampilkan tokoh-tokoh pendidikan berwibawa pada masa-masa akan datang.

“Kita juga yakin bahawa forum sebegini mampu memberi manfaat kepada setiap lapisan guru dalam meningkatkan tahap professional keguruan secara berterusan,” katanya.

Program secara dalam talian dikendalikan Yahya Burhanuddin dari Sekolah Menengah Sains Labuan dan Norazimah Mohamed Dauzkaply Nor dari SK Pantai sebagai pengacara yang disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube itu menarik seramai 172 penyertaan dalam kalangan guru dari seluruh negara.

Yang turut serta ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan JPWPL, Mohd Nizam Yasim.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|