Pengedar tidak pernah serik ditahan

Pengedar tidak pernah serik ditahan

Beaufort: Seorang lelaki yang dibebaskan atas jaminan polis sebulan lalu, ternyata tidak pernah serik apabila sekali lagi ditahan bersama dadah di rumahnya di Kampung Brunei, Membakut, di sini, semalam.

Malah, dalam operasi jam 6 petang itu, lelaki berusia 23 tahun itu turut mendakwa terpaksa menjalankan aktiviti pengedaran syabu sejak awal tahun 2021 kerana tiada punca pendapatan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Yaacob berkata, semasa ditahan untuk pemeriksaan, polis menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu.

Katanya, hasil ujiangan saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif jenis methaphetamine.

“Ketika ditahan, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 5.09 gram dipercayai untuk dijual.

“Suspek turut mengaku mendapat bekalan dadah daripada seorang pengedar tempatan nama “DINO” di Pekan Bongawan Papar, dekat sini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga kes jenayah lampau membabitkan jenayah dadah sejak tahun 2018.

Katanya, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|