Tokan ditahan bersama 6.69 gram syabu

Tokan ditahan bersama 6.69 gram syabu

Beaufort: Seorang lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah kecil-kecilan ditahan dalam operasi serbuan di sebuah rumah di Kampung Sanginan, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 10.30 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun ditahan bersama 24 paket dadah dengan berat keseluruhan sebanyak 6.69 gram.


Suspek ditahan bersama dadah syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sanginan, Beaufort. Pix Ihsan PDRM

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis menyerbu rumah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

Katanya, sebaik diserbu, suspek yang ditemui terus ditahan dan diberikan kata-kata amaran mengikut Seksyen 37B(1)(b) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dadah syabu seberat 6.69 gram yang dirampas. Pix Ihsan PDRM

“Suspek kemudiannya mengaku memiliki dadah berkenaan di dalam kereta Proton Wira miliknya. Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi menemui dua paket plastik lutsinar sederhana besar.

“Kedua-dua plastik berkenaan mengandungi 24 paket plastik berisi serbuk dan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, suspek terus ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek turut mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Suspek mengaku mendapatkan bekalan syabu daripada seorang pengedar tempatan yang dikenali sebagai “GONDRONG” di Kinarut, Papar.

“Suspek turut mengakui terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah syabu sejak pertengahan tahun ini,” katanya.

Yusoff Zaki berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|