Semporna: Cubaan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) menyeludup masuk ke perairan negara ini gagal selepas berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) ketika menghampiri Pulau Berhala, di sini, semalam.
Suspek yang dipercayai dari negara Filipina itu dikesan masuk ke perairan negara kira-kira jam 10 pagi dalam rondaan di kawasan tanggungjawab yang dijalankan PPM Sandakan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, bot yang dinaiki warga asing terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan rondaan PPM Sandakan.
Katanya, pasukan PPM kemudian mengekori dan berjaya memintas sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan.
“Hasil percakapan, lelaki terbabit mengaku berasal dari Pulau Bakungan, Filipina dan didapati cuba memasuki perairan daerah ini secara salah.
“Bot berkenaan kemudiannya di usir dengan diiring sehingga keluar dari perairan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rusdin berkata, PPM sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya Sandakan bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik Covid-19.
Katanya, PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara.
Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197
Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi pusat Gerakan PPM Sandakan di talian 089-221453 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.
-Deasoka