52 kutu sampah dikompaun

52 kutu sampah dikompaun

Kota Kinabalu: Seramai 52 ‘kutu sampah’ dikenakan kompaun selepas didapati membuang puntung rokok dan bahan buangan lain sepanjang sembilan hari Operasi Bersih dilaksanakan di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, operasi itu dilaksanakan di sekitar bangunan pusat beli belah Centre Point, kawasan komersial Kampung Air dan Inanam Business Center (IBC) pada 1 hingga 9 Disember lalu.

Penguat kuasa DBKK menjalankan Operasi Bersih dan mengeluarkan kompaun kepada orang awam yang didapati membuang sampah di merata tempat di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu.

Katanya, seramai 13 anggota Unit Kawalan Selia (UKS) Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)  bergerak ke sekitar kawasan bandar raya untuk mendidik orang awam yang masih gagal menjaga kebersihan pusat bandar semasa berada di tempat awam.

“Operasi yang dijalankan seawal jam 9 pagi sehingga 12 tengahari dan disambung semula pada 5 petang sehingga 10 malam itu berjaya keluarkan kompaun terhadap 52 orang awam yang didapati membuang puntung rokok dan bahan buangan lain di kawasan berkenaan.

“Sebanyak 42 kompaun telah dibayar serta merta manakala baki selebihnya adalah merupakan kompaun berstatus bertempoh,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Noorliza berkata, kompaun itu dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Anti Sampah Sarap 1984 Bandaraya Kota Kinabalu Pindaan 2005.

“Operasi ini akan terus dijalankan untuk memberi kesedaran kepada orang awam yang masih degil dan khilaf dalam menjaga kebersihan bandar raya terutama di tempat awam.

“Gunakan kemudahan tong-tong sampah yang disediakan untuk membuang sampah masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|