Naik taraf Jalan Berungis, Tuaran bermula tahun depan

Naik taraf Jalan Berungis, Tuaran bermula tahun depan

Kota Kinabalu: Jalan Berungis di Tuaran akhirnya akan dinaik taraf kepada laluan berkembar dua hala membabitkan kos RM15 juta bagi menyelesaikan kesesakan lalu lintas yang berlaku di laluan itu ketika ini.

Projek menaik taraf laluan menghubungkan ibu negeri dengan Tuaran dan daerah di utara Sabah itu dimasukkan dalam Pusingan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Hajiji menyaksikan penyerahan projek LRA Tanjung Labian, Lahad Datu daripada Timbalan Pengarah Perkhidmatan Korporat FELDA, Mahadzir Mustaffa (kanan) kepada Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ir Edward Lingkapo.

Pelaksanaan projek itu adalah atas permintaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, memandangkan laluan sepanjang 4.09 kilometer itu terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang diwakilinya.

Kerja menaik taraf laluan berkenaan akan bermula di Bulatan Berungis hingga ke simpang Marabahai Spur dan dijangka dilaksanakan mulai tahun depan dengan jangka masa penyiapan selama 36 bulan.

Hari ini, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman menyerahkan surat projek itu kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Mohd Jasmin Julpin.

Majlis penyerahan yang berlangsung di Menara Kinabalu itu disaksikan Hajiji.

Pada majlis yang sama, Hajiji turut menyaksikan penyerahan projek Loji Rawatan Air (LRA) Tanjung Labian, Lahad Datu yang bernilai RM18.3 juta kepada kerajaan negeri.

Penyerahan dilakukan Timbalan Pengarah Perkhidmatan Korporat FELDA, Mahadzir Mustaffa kepada Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ir Edward Lingkapo.

Loji berkenaan mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan empat juta liter sehari (JLS) air bersih yang akan memberi manfaat kepada 800 keluarga di enam kampung sekitar Tanjung Labian, Lahad Datu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|