Kerajaan beri perhatian pandangan pihak berkepentingan majukan semula sektor pelancongan

Kerajaan beri perhatian pandangan pihak berkepentingan majukan semula sektor pelancongan

Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri memberi perhatian serius terhadap sebarang idea dan cadangan daripada pihak berkepentingan dalam usaha membina semula industri pelancongan Sabah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata kerajaan negeri terbuka untuk menerima dan menilai cadangan daripada pemain industri demi kejayaan sektor pelancongan.

Joniston berbincang sesuatu bersama Pengerusi Malaysian Association of Hotels (MAH) Sabah Chapter Hafizan Wong pada Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Pelancongan 2022.

“Kita perlu memahami antara satu sama lain. Kita menerima banyak permintaan daripada pihak berkepentingan tetapi kerajaan juga mempunyai batasan. Apa yang penting adalah untuk kita semua untuk mencapai kata sepakat.

“Kita juga harus mencapai kata sepakat sekiranya ada keperluan untuk kita membantu mengemukakan sesuatu cadangan kepada kerajaan negeri atau persekutuan untuk industri pelancongan di Sabah,” katanya.

Joniston Bangkuai bersama CEO STB, Noredah Othman dan Pengurus Besar Shangri-La’s Rasa Ria Resort and Spa, Fiona Hagan pada Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Pelancongan.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Pelancongan Bagi Tahun 2022 di sini, hari ini.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata keputusan membatalkan ujian saringan Covid-19 bagi pengunjung yang divaksin sepenuhnya ke Sabah adalah contoh persefahaman yang baik di antara pemain industri dan kerajaan negeri.

Joniston Bangkuai bersama Pengerusi Sabah Tourist Association, Tony Chew (kiri) dan Pengerusi Malaysia Inbound Chinese Association Sabah Chapter, Eddie Chan.

Pada November lalu, katanya pihak AirAsia, Malaysia Airlines dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengutarakan cadangan pembatalan itu sebelum dibawa ke perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Ketua Menteri berpendapat ia adalah idea yang baik dan membincangkannya dengan lebih lanjut bersama Setiausaha Kerajaan Negeri. Apabila pemain industri membuat syor, kita bantu mengemukakannya kepada kerajaan negeri dengan justifikasi.

“Ini adalah contoh bagaimana kita harus saling memahami dan bekerjasama dengan lebih baik untuk kebaikan bersama. Saya berharap melalui sesi penglibatan ini, kita dapat bersatu untuk menghidupkan semula strategi untuk membawa pelancongan kembali ke arus perdana sambil menerapkan amalan bertanggungjawab untuk industri,” katanya.

Katanya, objektif sesi penglibatan kali ini adalah berdasarkan empat fokus utama iaitu membina keyakinan pengguna; menyokong industri; membina semula ketersambungan; dan meningkatkan segmen berpotensi.

Ia adalah garis panduan ke arah pemulihan pelancongan Sabah yang dipersetujui sebulat suara ketika mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan yang diadakan oleh STB dengan pemain industri pelancongan pada Ogos lalu.

Beliau berkata, pelan hala tuju itu selari dengan konsep yang ditetapkan kerajaan iaitu 3R: Recovery, Revitilaise, dan Reform.

“Kita berharap penglibatan semua kali ini dapat membantu mengenal pasti inisiatif yang memberi impak dan yang boleh menambah nilai untuk industri pelancongan negeri, terutamanya dalam norma baharu.

“Oleh itu, saya menggesa pemain industri untuk bersikap terbuka dalam menyumbang idea dan cadangan supaya kita semua dapat memperoleh hasil yang bermanfaat,” katanya.

Beliau turut menggalakkan semua pemain industri pelancongan untuk terus menghasilkan idea baharu terutama mengenai inovasi dan kerjasama digital.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Mary Malangking; Ketua Pegawai Eksekutif STB l, Noredah Othman; Ketua Pegawai Kewangan STB, Julinus Jimit; dan Ketua Pegawai Pemasaran STB, Tay Shu Lan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|