10 individu ditahan bantu siasatan pergaduhan bola sepak di Labuan

10 individu ditahan bantu siasatan pergaduhan bola sepak di Labuan

Labuan: Polis menahan 10 individu dan memanggil beberapa saksi kejadian bagi membantu siasatan berhubung kejadian merusuh membabitkan penyokong serta pemain dalam perlawanan Bola Sepak Bawah 23 Tahun di padang Kompleks Sukan Wilayah Persekutuan Labuan, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, kejadian rusuhan itu dilaporkan berlaku pada jam 1.30 petang, semalam ketika perlawanan antara pasukan Bambu 2 dengan pasukan PAT United.

Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada tindakan beberapa penyokong dari kedua-dua pasukan yang tidak berpuashati dengan insiden kekasaran yang berlaku ketika perlawanan.

“Rentetan daripada itu, beberapa orang penyokong masuk ke dalam padang dan berlaku provokasi sehingga berlaku pergaduhan antara penyokong dan pemain kedua-dua pasukan.

“Akibat kejadian itu, beberapa individu dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan terpaksa menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
 
Mohd Ibrahim berkata, hasil siasatan lanjut, polis berjaya mengenal pasti individu yang terbabit dan sudah membuat beberapa siri tangkapan bagi membantu siasatan.

“Setakat hari ini, seramai 10 individu berusia 17 hingga 36 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan beberapa saksi telah dipanggil memberi keterangan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohd Ibrahim berkata, pihaknya sudah mendapat perintah reman dari Mahkamah Majistret Labuan untuk menahan lapan tangkapan sehingga 16 September depan.

Manakala katanya, dua lagi individu yang ditahan dikenakan perintah reman sehingga selasa ini.

Sementara itu, Mohd Ibrahim menasihatkan kepada mana-mana penganjur sukan untuk memaklumkan kepada pihak polis berkenaan sebarang penganjuran.

Katanya, ia terutamanya kepada penganjuran membabitkan kumpulan yang ramai dan kehadiran pemimpin-pemimpin tempatan atau orang kenamaan bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|