Kegiatan seleweng minyak masak bersubsidi terbongkar, tiga lelaki ditahan

Kegiatan seleweng minyak masak bersubsidi terbongkar, tiga lelaki ditahan

Sandakan: Kegiatan tiga lelaki menyeleweng minyak masak bersubsidi hingga bekalan barangan terkawal berkenaan kurang di daerah ini, akhirnya terbongkar selepas diserbu di dua lokasi berasingan, Sabtu lalu.

Pegawai Pemerintah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata, hasil risikan bersama penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sandakan, serbuan pertama dijalankan di kawasan Batu 14, kira-kira jam 9 pagi.

Mohamed Rafiq ketika sidang media susulan kejayaan membongkar kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi di Sandakan

Katanya, hasil serbuan itu, seorang lelaki berusia 68 tahun ditahan bersama 25 tong berisi minyak masak bersubsidi.

“Susulan maklumat, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Batu 14, disyaki stor haram pengumpulan minyak masak.

Minyak masak bersubsidi yang dirampas.

“Ketika serbuan dijalankan, seorang lelaki berusia 34 tahun dipercayai pemandu lori cuba melarikan diri namun berjaya ditahan manakala turut ditahan seorang lagi lelaki berusia 43 tahun yang mengaku pemilik stor berkenaan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Hadir sama, Pegawai KPDNHEP Sandakan, Mohamad Hashim.

Mohamed Rafiq berkata, pemeriksaan mendapati, minyak masak berkenaan dipercayai diseleweng untuk dijual kepada kilang membeli minyak mentah.

“Akibat tindakan mereka ini, dilaporkan menyebabkan bekalan minyak masak di daerah ini tidak mencukupi.

“Semua suspek ditahan dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM97,500,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, mengulas mengenai hasil operasi PGA Batalion 20 untuk tahun ini, beliau berkata, pihaknya berjaya menghasilkan 123 tangkapan dengan nilai rampasan RM2.7 juta membabitkan pelbagai kes.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|