UMNO mahu tanding kerusi Parlimen Tuaran

UMNO mahu tanding kerusi Parlimen Tuaran

Tuaran: Pemuda UMNO Bahagian Tuaran menuntut agar kerusi Parlimen Tuaran diserahkan kepada parti itu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Alfian Sambas, berkata sudah tiba masanya UMNO Tuaran memimpin Parlimen Tuaran selepas sekian lama kerusi itu diserahkan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN).

Alfian menyerahkan baju T sebagai cendera kenangan kepada Jasni selepas merasmikan mesyuarat Pemuda UMNO Tuaran.

Katanya, UMNO wajar mengambil alih kerusi berkenaan selepas komponen BN sebelum ini, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memusnahkan harapan rakyat dan penyokong apabila melompat ke parti lain.

“Sudah tiba masanya untuk UMNO meletakkan calon di Parlimen Tuaran. Kita sudah terlalu lama berkorban dan berkompromi untuk parti komponen lain yang akhirnya kepercayaan rakyat dimusnahkan oleh pemimpin yang lebih mementingkan kepentingan peribadi daripada kepentingan rakyat,” katanya pada mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Tuaran, kelmarin.

Alfian mengiringi ketibaan Jasni untuk merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Tuaran.

Ketika ini, kerusi Parlimen Tuaran disandang Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau selepas memenangi kerusi berkenaan atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Bagaimanapun, selepas PRU berkenaan, UPKO mengumumkan keluar BN dan bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk membentuk kerajaan negeri.

Jasni bersama Alfian (tengah) bersama perwakilan yang hadir ke mesyuarat Pemuda UMNO Tuaran.

UPKO kini menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai parti komponen gabungan pembangkang bersama dengan PKR, DAP dan AMANAH.

Alfian berkata tuntutan berkenaan adalah antara usul yang diterima sebulat suara oleh pergerakan Pemuda UMNO Tuaran ketika mesyuarat perwakilan itu.

Selain itu, katanya dua lagi usul turut dipersetujui untuk dibawa ke mesyuarat perwakilan bahagian iaitu meminta agar pucuk pimpinan tertinggi UMNO mecalonkan lebih ramai muka baharu dalam kalangan anak muda sebagai calon PRU Ke-15 nanti.

“Pemuda UMNO memiliki ramai calon muda yang berwibawa dan berpendidikan untuk menggalas tanggungjawab ini sekiranya diberikan peluang.

“Malah, kehadiran yang begitu ramai perwakilan Pemuda pada mesyuarat kali ini mengambarkan UMNO masih menjadi pilihan orang muda,” katanya.

Selain itu, Pemuda UMNO Tuaran juga meluluskan usul menyokong keputusan Ahli majlis tertinggi UMNO untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PKR dan DAP pada PRU-15.

Katanya, kerjasama sebelum ini hanya untuk bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menubuhkan kerajaan dan bukannya bersama BERSATU, PKR dan DAP untuk bekerjasama dalam politik.

Mesyuarat sayap berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua UMNO bahagian Tuaran, Jasni Daya dan turut dihadiri oleh kepimpinan Pemuda UMNO bahagian Tuaran serta 253 perwakilan Pemuda dari 108 cawangan Pemuda UMNO Tuaran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|