Lelaki cuba selamatkan pelancong berakhir tragedi

Lelaki cuba selamatkan pelancong berakhir tragedi

Kudat: Niat seorang lelaki menyelamatkan pelancong wanita yang hampir lemas tidak kesampaian apabila lelaki terbabit hilang sebelum ditemui lemas dalam kejadian di Pantai Hisbiscus Villa, Jalan Kampung Marang Parang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Estilly Lieo Uainis, 19, dikatakan menyedari seorang wanita warga asing meminta tolong di kawasan tengah laut.


Pasukan bomba cuba menyelamatkan mangsa dengan memberi bantuan pernafasan CPR sebelum diserahkan kepada pasukan paramedik KKM. Pix Ihsan Bomba

Mangsa yang dikatakan baru saja bekerja di pusat pelancongan berkenaan terus bertindak terjun ke laut dan cuba menyelamatkan pelancong terbabit.

Bagaimanapun, hasrat mangsa tidak tidak kesampaian apabila dia dilaporkan hilang selepas hanyut dibawa arus deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Mengikut laporan awal, wanita pelancong yang dikatakan hampir lemas terbabit berjaya diselamatkan oleh rakan sekerja mangsa.

“Manakala, mangsa pula dikatakan hilang hampir sejam sebelum ditemui oleh rakan sekerja lain yang berusaha mencarinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ishak berkata, selepas ditemui, mangsa diberikan rawatan awal (CPR) oleh pasukan bomba namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 1.35 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|