250 peserta Mykasih Kapital di Sabah terima geran

250 peserta Mykasih Kapital di Sabah terima geran

Kota Kinabalu: Seramai 250 peserta Mykasih Kapital di negeri ini menerima geran daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, geran itu bagi membantu wanita yang terjejas atau mereka yang ingin memulakan bidang keusahawan dalam usaha untuk menambahkan pendapatan.

Rina menyampaikan geran kepada salah seorang peserta dalam majlis penyerahan geran Mykasih Kapital di Kota Kinabalu.

“Pada tahun depan sebanyak RM6.25 juta akan disalurkan kepada mereka untuk kita bantu wanita-wanita ini untuk memulakan perniagaan.

“Seperti saya katakan sebelum ini, bukan hanya untuk mereka sekadar jadi usahawan perniagaan tetapi untuk memotivasikan diri untuk bangkit memulakan perniagaan. Bukan semua orang ada keyakinan untuk buat sesuatu sebelum ini,” katanya selepas menyampaikan geran itu di sini, hari ini.

Katanya lagi, program yang dilaksanakan itu akan dipantau selama enam bulan untuk melihat prestasi peserta.

“Kita nak lihat dari segi prestasi mereka ini, kalau mereka ada potensi untuk dikembangkan dengan lebih besar maka kementerian akan bekerjasama dengan pembangunan usahawan dan koperasi serta agensi lain seperti MARA dan sebagainya untuk mereka mempunyai peluang lebih besar lagi.

“Untuk di Sabah saja seramai 250 namun di seluruh negara membabitkan 5,000 peserta dan program ini akan berterusan secara berperingkat sehingga tahun hadapan,” katanya.

Katanya, penilaian akan sentiasa dibuat untuk memastikan penyertaan daripada peserta meningkat.

“Kita akan buat penilaian dan sudah pasti jumlahnya akan meningkat dengan lebih jauh lagi kita jangkakan lima ke enam kali ganda dari jumlah yang ada sekarang.,

“Kita juga bekerjasama dnegan syarikat korporat melalui program bersiri supaya mereka tidak rasa keseorangan dalam menghadapi cabaran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|