Tokan dadah ditahan ketika urus niaga

Tokan dadah ditahan ketika urus niaga

Kota Marudu: Kegiatan dua lelaki yang aktif mengedar dadah di sekitar Pitas sejak kebelakangan ini akhirnya tumpas selepas ditahan polis, malam tadi.

Kedua-dua suspek ditahan oleh pasukan rondaan Cegah Jenayah Balai Polis Pitas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu jam 9.30 malam di dalam kereta Proton Wira di bahu jalan hadapan sebuah bank di Pitas, ketika sedang menjalankan urus niaga jual beli dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, dalam kejadian itu, polis turut menahan seorang wanita tempatan.

Katanya, hasil pemeriksaan ketiga-tiga suspek berusia 22 hingga 40 tahun itu menemui 24 peket plastik lutsinar berbagai saiz yang berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah syabu seberat 34 gram.

“Polis turut merampas dompet yang mengandungi wang tunai berjumlah RM15,240.

“Selain itu turut dirampas motosikal jenis Yamaha yang disyaki milik salah seorang suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Semua mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kini direman sehingga 30 Ogos.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1) akta sama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|