Misi untuk bangkit semula dengan kemenangan – Kurniawan

Misi untuk bangkit semula dengan kemenangan – Kurniawan

Kota Kinabalu: Setiap pemain Sabah FC digesa supaya terus fokus dan bangkit dalam tiga perlawanan terakhir termasuk aksi menentang UiTM FC di Stadium Shah Alam malam esok.

Pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, ia bukan saja bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super tetapi juga membangkitkan semangat dan motivasi pemain.

Katanya, kekalahan kepada Penang FC di laman sendiri minggu lalu sangat menyakitkan dan beliau bertanggungjawab atas kekalahan itu.

“Saya percaya dengan kemampuan dan kualiti pemain. Malah pada perlawanan terakhir lalu, pasukan Sabah dapat mengawal bola namun tidak mampu menjaringkan gol.

“Jadi saya berharap para pemain terus bangkit dengan motivasi dan semangat yang tinggi. Apa yang paling penting ialah bagaimana mereka bermain tanpa sebarang tekanan walaupun kita memerlukan mata penting di tiga perlawanan terakhir,” katanya.

Kurniawan berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas sesi latihan di Kota Kinabalu, semalam.

“InsyaAllah, saya mohon doanya dari semua penyokong agar Sabah FC mampu mengutip mata maksimum dalam tiga perlawanan terakhir ini.

“Mudah-mudahan para pemain bersatu hati untuk tampil sebaiknya dan meraih mata penuh daripada baki perlawanan,” katanya.

Selepas aksi menentang UiTM FC esok, pasukan Sabah FC akan bermain di Stadium Likas pada Ahad depan menentang Selangor FC sebelum menamatkan saingan Liga Super berdepan Perak FC di Stadium Ipoh, Perak 12 September nanti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|