Kabinet Ismail Sabri sejajar konsep Keluarga Malaysia

Kabinet Ismail Sabri sejajar konsep Keluarga Malaysia

Kota Kinabalu: Pembentukan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini jelas memperlihatkan konsep Keluarga Malaysia ke arah memenuhi aspirasi rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pelantikan enam wakil dari Sabah dengan dua menteri dan empat timbalan menteri dalam itu juga membuktikan kerajaan Pusat mengiktiraf kepentingan rakyat Sabah dalam mentadbir negara.

Sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pelantikan itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri turut berharap barisan Kabinet baharu negara mampu menjadi pasukan yang mantap dan berwibawa.

Katanya, perkara itu sejajar dengan penekanan Perdana Menteri yang mahu Kabinet diketyainya itu adalah sebuah pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat, selain mampu bertindak pantas dan bersepadu.

“Kita sedar dan insaf, pada ketika rakyat masih bergelut dengan penularan pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat menaruh harapan cukup besar kepada Kabinet baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata kejayaan sesebuah Kabinet bergantung kepada kerjasama anggotanya dan melaksanakan tanggungjawab dengan telus demi kepentingan rakyat.

Katanya, strategi pelaksanaan penting bagi memastikan kedudukan kerajaan terus kukuh dan diperkasakan di mata rakyat melalui strategi pentadbiran berkesan yang dapat membawa negara ke landasan ekonomi yang betul dan mengawal penularan Covid-19,

“Kita juga mengharapkan Kabinet baharu ini dapat melaksanakan idea baharu yang disusuli dengan tindakan pantas. Rakyat mahu apabila sesuatu itu diumumkan, kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakannya, bukan untuk menunggu lagi,” katanya.

Mengulas pelantikan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang menjadi satu-satunya pemimpin mewakili UMNO Sabah sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, Bung Moktar berkata ia adalah pengiktaran kepada UMNO Sabah sebagai gabungan utama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kita amat menghargai pelantikan ini dan ia juga bertepatan dengan isu pendidikan yang masih menjadi cabaran kita di Sabah dan kita berharap beliau (Mohamad) akan lebih memahami isu dan keperluan pendidikan di Sabah untuk disuarakan secara langsung kepada kerajaan dan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar turut menyambut baik pelantikan Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya yang disifatkan sebagai jambatan antara Kementerian Kerja Raya di Pusat dan negeri.

Katanya, ia penting dalam mewujudkan kolabarasi yang lebih padu bagi memenuhi keperluan pembangunan insfrastruutur seperti jalan raya, bekalan air dan lain-lain infrastruktur di Sabah.

“Pelantikan beliau (Arthur) sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya amat sesuai dan kita mengharapkan segala isu berhubung keperluan insfrastrukur di Sabah dapat disuarakan.

“Ini kerana di peringkat negeri kita masih mengharapkan bantuan terutamanya peruntukan dari kerajaan Pusat untuk membangun dan meningkatkan kemudahan insfrastruktur seperti jalan raya dan bekalan air bersih,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|