Kabinet baharu mampu tangani cabaran COVID-19 – Hajiji Noor

Kabinet baharu mampu tangani cabaran COVID-19 – Hajiji Noor

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyifatkan barisan Kabinet baharu persekutuan yang diumunkan siang tadi sebagai sebuah pasukan berorientasikan tindakan yang mampu melaksanakan tugas dengan berkesan.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata beliau yakin Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu mampu menangani cabaran ekonomi negara yang disebabkan pandemik Covid-19.

“Rakyat meletakkan jangkaan yang tinggi kepada mereka dan berharap dengan pasukan baharu ini, kita kini dapat menumpukan usaha pemulihan ekonomi dan mengatasi pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Siang tadi, Ismail Sabri menamakan dua menteri dan empat timbalan menteri dari Sabah menyertai Kabinet baharu yang diketuainya.

Dua menteri terbabit ialah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang memegang semula portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilantik semula sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata pelantikan semula Maximus dan Ronald membolehkan mereka meneruskan apa yang sudah dirancang sebelum ini.

“Kerajaan negeri akan bekerja rapat dengan Maximus untuk menyuarakan semua perkara berkaitan hak negeri seperti termaktub dalam dokumen sebelum kemerdekaan seperti Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Jelasnya, portfolio Ronald pula penting dalam membantu kerajaan negeri mencapai pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menggariskan sektor pertanian sebagai komponen utama.

Dalam pada itu, Hajiji berkata beliau juga yakin dua muka baharu timbalan menteri dari Sabah, iaitu Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa dan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin mampu menggalas tugas yang diamanahkan dengan baik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|