Covid-19 Sabah: 41 kes kematian hari ini, tertinggi sejak pandemik melanda

Covid-19 Sabah: 41 kes kematian hari ini, tertinggi sejak pandemik melanda

Kota Kinabalu: Sabah hari ini mencatat kes kematian tertinggi akibat jangkitan Covid-19 dengan sebanyak 41 kematian dilaporkan di seluruh negeri.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes kematian paling banyak direkodkan di Kota Kinabalu dengan sebanyak 19 kes.

“Sebanyak lima kes lagi dilaporkan di Sandakan, diikuti empat kes di Tuaran, masing-masing tiga kes di Penampang dan Keningau, manakala masing-masing dua kes di Beaufort, Lahad Datu dan Kalabakan, selain satu kes lagi di Tenom,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Jumlah kematian melebihi 40 kes sehari itu pertama kali dicatat sejak lebih setahun pandemik Covid-19 merebak ke negeri ini.

Sementara itu, Sabah hari ini masih merekodkan jangkitan baharu Covid-19 melebihi 3,000 kes dengan catatan 3,010 kes berbanding 3,487 kes semalam.

Masidi berkata, tiada perubahan yang ketara dicapai hari ini walaupun ada penurunan sebanyak 477 kes disebabkan penurunan 198 kes di Kinabatangan, diikuti penurunan 60 kes di Penampang dan penurunan 83 kes di Sandakan.

“Secara keseluruhan, saringan bergejala naik kepada 946 kes atau 31.4 peratus daripada jumlah kes hari ini, manakala saringan kontak rapat menyumbang 1,782 kes atau 59.2 peratus diikuti 37 kes melalui saringan kluster.

“Hampir 37 peratus daripada kes di Sandakan adalah kes saringan bergejala dan lebih tinggi daripada jumlah kes saringan melalui kontak rapat. Di Kota Kinabalu, kes melalui saringan bergejala mencecah 44 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata sebanyak 1,206 kes atau 40 peratus daripada 3,010 kes baharu hari ini adalah kes lewat didaftar antara dua hingga tiga hari, diikuti 213 kes (7.1 peratus) lewat antara empat hingga lima hari dan 482 kes (16 peratus) adalah kes yang didaftar lewat melebihi lima hari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|