Kem Solat secara maya atasi kekangan pandemik

Kem Solat secara maya atasi kekangan pandemik

Labuan: Kekangan mengadakan program secara fizikal tidak menghalang usaha Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan II Labuan memganjurkan program Kem Bestari Solat 2021 secara dalam talian, baru-baru ini.

Malah, program berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada murid sekolah dengan penyertaan 155 orang murid.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Ustazah Kamariah Salim yang merasmikan program itu, berkata pandemik Covid-19 bukan alasan untuk tidak mengadakan program seumpama itu.

“Tahniah kepada sekolah kerana berjaya menganjurkan program ini. Walaupun kita berdepan kekangan pergerakan secara fizikal dalam usaha menangani penularan Covid-19, namun program ini masih boleh diadakan secara maya,” katanya.

Turut menyertai program itu ialah Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Labuan, Ustazah Rahimah Yusuppu; Penolong Kanan Pentadbiran SK Oekan II, Ustaz Zulkarnaini Ali; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Pekan II, Ustazah Farida Abdul Rahman dan Penolong Kanan Kokurikulum SK Pekan II, Fatimah Kassim.

Sementara itu, Guru Besar SK Pekan II, Dayang Damit@Saidah Mohd Yassin, berkata program Kem Bestari Solat penting bagi memastikan murid tahun satu hingga enam mendapat pendedahan dan mengamalkan ibadah solat dalam kehidupan seharian dengan sempurna dari segi bacaan, rukun dan penghayatan solat.

Jelas beliau, objektif program adalah untuk memberi pendedahan kepada murid mengeni cara solat yang betul berdasarkan rukun dan syarat yang ditetapkan.

Selain itu, kata Dayang, murid dapat melaksanakan semua perbuatan dan bacaan dalam solat dengan betul dan lancar.

“Pada masa sama, murid dapat menentukan kedudukan imam dan makmum semasa solat berjemaah, menanam sikap tanggungjawab untuk melaksanakan solat fardhu sebagai ibadah yang wajib dalam kehidupan harian.

“Kem ini juga memberi pendedahan kepada murid mengenai cara solat yang sempurna sama ada solat secara bersendirian atau berjemaah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|