Empat nelayan ditahan, tangkap ikan di kawasan larangan

Empat nelayan ditahan, tangkap ikan di kawasan larangan

Beaufort: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat nelayan selepas dipercayai menangkap hasil laut menggunakan kaedah bom ikan dalam operasi di perairan Pulau Tiga, Kuala Penyu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, Op Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan bersama pasukan Taman Taman Sabah (TTS) itu turut merampas beberapa peralatan dipercayai untuk kegunaan membuat bom ikan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kegiatan empat nelayan itu dikesan ketika pasukannya menjalankan rondaan di perairan berkenaan yang dikategorikan sebagai kawasan larangan.

Katanya, sebaik mengesan dua bot nelayan yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan, pasukan operasi terus cuba menghampiri mereka untuk pemeriksaan.

“Selepas diarahkan berhenti, kedua-dua bot berkenaan cuba melarikan diri dengan bertindak memecut ke arah perairan Papar.

“Bagaimanapun, pasukan operasi berjaya memintas kedua-dua bot yang dinaiki empat suspek sebelum pengeledahan dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui beberapa peralatan yang digunakan untuk aktiviti pengeboman ikan bersama pelbagai hasil laut.

Katanya, empat suspek berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu terus ditahan dan peralatan yang dirampas juga dianggarkan bernilai RM26,130 termasuk bot serta hasil laut.

“Semua suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|