Pengedar dadah sanggup bergelut cuba loloskan diri

Pengedar dadah sanggup bergelut cuba loloskan diri

Beaufort: Seorang lelaki nekad bergelut dengan polis dalam usaha meloloskan diri ketika cuba ditahan dalam operasi di Kampung Pimping, Membakut, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, kecekapan pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort berjaya menahan suspek bersama seorang lagi rakannya.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, polis bertindak melakukan serbuan berkenaan berdasarkan maklumat awam.

Katanya, sebaik berjaya ditahan, pemeriksaan mendapati salah seorang suspek memiliki satu paket lutsinar mengandungi syabu, seberat 8.20gram.

“Kedua-dua lelaki berusia 21 dan 25 tahun itu mengaku aktif dalam kegiatan pengedaran dan penagihan dadah sejak awal 2019 atas alasan tiada punca pendapatan.

“Selain itu, suspek turut mengaku mendapatkan bekalan dadah syabu daripada seorang pengedar dadah yang dikenali sebagai ‘Saipul’ di Pekan Bongawan Papar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis methaphetamine.

Katanya, salah seorang suspek turut didapati mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dadah.

“Kedua-dua suspek ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|