Kikis sikap perkauman demi perpaduan

Kikis sikap perkauman demi perpaduan

Kota Kinabalu: Rakyat negeri ini diminta supaya mengikis sikap perkauman dalam usaha mengekalkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama yang sedia terjalin sejak sekian lama.

Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata setiap rakyat perlu menyemat dalam diri masing-masing bahawa semua rakyat Malaysia hidup berbilang kaum dan agama.

“Semua rakyat harus menerima perbezaan sebagai satu kekuatan supaya perpaduan terus kekal dan lestari sampai bila-bila.

“Kita semua mempunyai peranan penting dalam mengekalkan perpaduan mengikut peringkat dan kapasiti masing-masing,” katanya pada program sambutan Hari Kebangsaan Norma Baharu secara maya anjuran Biro Komunikasi dan Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, hari ini.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, berkata perpaduan itu adalah satu kekuatan luar biasa yang melebihi kekuatan komersial dan lain-lain aspek.

“Perpaduan bukan sahaja asas yang mengikat semua rakya tetapi ia juga sebagai ejen integrasi nasional, sekali gus membawa aspirasi negara maju ke hadapan.

“Sokongan dan kerjasama semua pihak terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta sangat diperlukan bagi memastikan objektif perpaduan yang dibentuk di negara ini tercapai,” katanya.

Beliau berkata, penularan pandemik Covid-19 bukan alasan untuk mengabaikan usaha mengukuhkan perpaduan kerana kurang berjumpa secara fizikal dan mengadakan majlis bersama.

Jelasnya, penggunaan teknologi canggih wajar dimanfaatkan untuk saling berhubung seperti biasa walaupun dalam norma yang berbeza.

Dalam pada itu, Nizam mengharapkan semua rakyat menghayati tema sambutan Hari Kebangsaan dan menterjemahkan dalam bentuk solidariti dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Saya yakin setelah sekian lama merdeka, amalan mengibarkan Jalur Gemilang sentiasa dibudayakan dalam kehidupan kita tanpa rasa malu dan janggal,”katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata slogan Malaysia Prihatin perlu disematkan dalam ingatan setiap rakyat Malaysia.

“Melalui slogan itu, kita dapat mengukuhkan asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Justeru, marilah kita bersama dengan keazaman dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengekalkan semangat perpaduan dalam kalangan semua kaum,” katanya.

Katanya, rakyat perlu peka dengan keadaan semasa dan sentiasa muhasabah diri serta bertanggungjawab dengan semua yang dilalui ketika ini.

“Dalam tempoh dua tahun kita berdepan pandemik Covid-19, banyak jenis bantuan disampaikan oleh kerajaan Pusat dan negeri sebagai tanda keprihatinan pemimpin sekarang.

“Masyarakat perlu bersama-sama berusaha memerangi Covid-19 dengan mengambil semangat tema Hari Kebangsaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|