Ronald terus tumpu jaminan makanan, kebajikan warga tani

Ronald terus tumpu jaminan makanan, kebajikan warga tani

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyatakan komitmennya untuk memastikan jaminan sekuriti makanan, kelangsungan rantaian bekalan makanan dan industri agro makanan negara diberikan perhatian utama.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata perkara berkenaan akan diteruskan selepas beliau dilantik semula memegang portfolio Menteri Pertanian dan Industri Makanan dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada masa sama, Ronald berkata beliau juga akan terus menumpukan tanggungjawab memelihara kebajikan warga tani keseluruhannya sejajar dengan pendekatan Keluarga Malaysia yang dibawa kepemimpinan baharu Ismail Sabri.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia, atas kepercayaan yang diberikan melantik saya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Sesungguhnya, ini adalah satu tanggungjawab dan amanah yang sangat besar. Namun dengan sokongan dan kerjasama jabatan dan agensi-agensi di bawah MAFI, saya akan menggalas tanggungjawab ini dan melakukan yang terbaik untuk memastikan jaminan sekuriti makanan negara, kelangsungan rantaian bekalan makanan dan industri agromakanan serta memelihara kebajikan warga tani keseluruhannya demi Keluarga Malaysia,” katanya.

Ronald dilantik semula memegang portfolio di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang sebelum ini dipegangnya dalam Kabinet diketuai bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|