PPM gagalkan penyeludupan petrol

PPM gagalkan penyeludupan petrol

Semporna: Cubaan tiga lelaki menyeludup minyak petrol ke negara jiran berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) yang menjalankan tugas rondaan kawasan bakau di perairan Kampung Terusan, Pulau Bum Bum, di sini, semalam.

Dalam operasi itu, ketiga-tiga lelaki itu bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, ketiga-tiga suspek paa awalmya dikesan sedang memunggah barang ke dalam dua bot dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pasukan operasi terus cuba mendekati kumpulan suspek terbabit untuk melakukan pemeriksaan.

“Apabila suspek menyedari kehadiran polis, ketiga-tiga suspek bertindak melarikan diri ke dalam kawasan bakau dan meninggalkan bot berkenaan.

“Semua minyak petrol yang ditinggalkan itu dipercayai hendak diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa jeriken berisi minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM32,255 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, semua hasil rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|