Penduduk Pulau Mantanani penerima terawal vaksin CanSino di Sabah

Penduduk Pulau Mantanani penerima terawal vaksin CanSino di Sabah

Kota Belud: Seramai 650 penduduk di Pulau Mantanani adalah antara penerima terawal suntikan vaksin Covid-19 jenis CanSino di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan berkata, penggunaan vaksin CanSino itu memudahkan kerana hanya memerlukan satu dos bagi setiap penerimanya.

Katanya, ia amat bersesuaian dengan keadaan penduduk khususnya di kawasan pedalaman ataupun kepulauan seperti Pulau Mantanani.

“Sya yakin vaksin CanSino yang hanya memerlukan satu dos suntikan itu akan mempermudahkan penduduk di sekitar kawasan pedalaman untuk mendapatkan vaksin.

“Ia berikutan kebanyakan mereka ini agak susah untuk dicapai berikutan kekurangan dari aspek jaringan pengangkutan dan jarak yang terlalu jauh,” katanya.

Fairuz berkata demikian semasa hadir dalam Program Vaksinasi Outreach DUN Pintasan di Pulau Mantanani hari ini.

Fairuz berkata, sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan, beliau amat berbangga kerana rakyat di kawasan itu terpilih menjadi penerima terawal bagi suntikan vaksinasi CanSino.

“Semoga usaha kita untuk mencapai perlindungan imunisasi kelompok berjaya dicapai segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah itu menegaskan, vaksin berkenaan terbukti amat membantu dalam usaha untuk mengurangkan risiko serta komplikasi dialami pesakit yang disahkan positif Covid-19.

“Ia terbukti dengan pengurangan kes positif yang berada di tahap empat dan lima sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan

“Ketika ini, kebanyakan kes positif baharu ialah tahap satu dan dua. Inilah kesan positif yang diperlukan dan pastinya usaha murni kerajaan kepada rakyat harus sentiasa dikenang,”katanya.

Fairuz berkata, kerjasama semua pihak seperti petugas barisan hadapan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), RELA, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Skuad N8 Pintasan dan ARMADA BERSATU Negeri Sabah banyak membantu khasnya bagi merealisasikan usaha bagi membentuk imuniti kelompok khasnya di DUN Pintasan.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya berdoa semoga kita semua dijauhkan dari virus ini dan segera mencapai kejayaan dalam memerangi pandemik yang merencatkan pertumbuhan ekonomi serta menjejaskan kesihatan rakyat sejagat di seluruh dunia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|