Kota Kinabalu: Pelantikan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin dalam Kabinet baharu kerajaan Pusat disifatkan sebagai satu pengiktirafan kepada UMNO Sabah di peringkat persekutuan.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, berkata beliau berbangga dan bersyukur dengan pelantikan itu serta berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi kepercayaan kepada Mohamad.
“UMNO Sabah cukup berbangga dan bersyukur atas pelantikan ini dan secara langsung mengiktiraf UMNO Sabah di peringkat persekutuan. Terima kasih YAB Perdana Menteri.
“Buat Datuk Mohamad Hj Alamin, tahniah dan selamat berkhidmat untuk negara,” katanya dalam kenyataan ringkas berhubung pelantikan Mohamad sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II.
Mohamad adalah antara enam pemimpin dari Sabah, masing-masing dua menteri dan empat timbalan menteri yang dilantik membarisi Kabinet baharu kerajaan Pusat pimpinan Ismail Sabri.
UMNO Sabah tidak mempunyai wakil dalam Kabinet pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini.
Ketika ini UMNO Sabah mempunyai dua kerusi Parlimen iaitu Kimanis yang disandang Mohamad dan Kinabatangan yang disandang Bung Moktar.
Mohamad yang juga Ketua UMNO Kimanis memenangi kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Januari tahun lalu.
-Deasoka