Tinggalkan rokok seludup dalam semak

Tinggalkan rokok seludup dalam semak

Sandakan: Tindakan penyeludup meninggalkan rokok di kawasan semak ladang kelapa sawit di Kampung Beriawa, Batu 8, di sini, bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam.

Dalam operasi jam 7 malam itu, PGA berjaya menemui sejumlah 760 bungkus rokok tanpa cukai dipercayai bernilai RM 74,587.20 berdasarkan harga pasaran semasa.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi yang dijalankan hasil maklumat awam dan risikan itu melakukan pemantauan selama 30 minit di lokasi.

Bagaimanapun katanya, tiada sesiapa yang menghampiri atau mengawasi barangan seludup yang ditinggalkan berkenaan.

“Selepas pemerhatian, pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan dan mendapati terdapat sebanyak 19 plastik hitam ditinggalkan di kawasan semak berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua bungkusan berkenaan mengandungi 760 bungkus rokok jenama Menara dan Minna,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua rokok tanpa cukai berkenaan terus dirampas dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|