28 menara baharu telekomunikasi atasi masalah liputan internet di Tenom

28 menara baharu telekomunikasi atasi masalah liputan internet di Tenom

Kota Kinabalu: Sebanyak 28 lagi menara baharu telekomunikasi akan dibina di Tenom mulai suku terakhir tahun ini bagi meningkatkan kualiti liputan internet di daerah itu.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), berkata pembinaan menara terbabit dijangka siap secara berperingkat pada Disember 2022.

Projek terbabit katanya yang turut membabitkan pembinaan sebuah menara baharu berdekatan Kampung Pangi, Tenom dilaksanakan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Selain itu, bermula April lalu sebanyak 62 stesen pemancar sedia ada dinaik taraf perkhidmatannya kepada 4G/LTE. Daripada jumlah itu, sebanyak 13 stesen pemancar telah siap dinaik taraf setakat ini.

“Tambahan pula, dua kawasan di daerah ini juga akan mendapat liputan internet melalui projek Jalur Lebar Satelit,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyusul berikutan aduan mengenai masalah liputan internet di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi yang dilaporkan baru-baru ini.

Jelas kenyataan itu, masalah di sekolah berkenaan dikenal pasti berpunca daripada sistem transmisi satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) di menara komunikasi yang berdekatan.

Bagaimanapun, katanya SKMM sudah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan mengatasi masalah terbabit dengan bagi memastikan penduduk di Kampung Pangi menikmati liputan telekomunikasi yang lebih baik untuk memudahkan urusan seharian mereka.

Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut bahawa SKMM juga mempunyai perancangan jangka panjang menangani masalah capaian internet di kawasan Kampung Pangi dengan menaik taraf sebuah menara komunikasi yang terletak kira-kira 0.17 kilometer dari SK Pangi bagi memberikan perkhidmatan 4G/LTE dan ia dijangka siap padaApril 2022.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|