Masih ramai pekerja belum lengkap vaksin di Sabah

Masih ramai pekerja belum lengkap vaksin di Sabah

Kota Kinabalu: Sektor industri di Sabah berdepan kesukaran untuk memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang mewajibkan semua pekerja industri termasuk warga asing lengkap vaksin Covid-19 sebagai syarat dibenarkan beroperasi secara penuh selepas 15 September depan.

Panel Penasihat Klinik Kesihatan Sandakan, Chan Boon Thian, berkata situasi itu dijangka menjejaskan operasi banyak syarikat dan perniagaan terutama di daerah Sandakan, memandangkan masih ramai pekera belum menerima vaksin termasuk dos pertama.

“Tidak seperti negeri lain di Semenanjung yang mana pekerja syarikat besar divaksin melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), di Sabah berlaku kesukaran, khususnya di Sandakan memandangkan program itu belum dilaksanakan di daerah ini.

“Ia menyebabkan masih ramai pekerja belum mendapat vaksin Covid-19 walaupun untuk dos pertama. Pada masa yang sama tempoh diberikan kerajaan negeri untuk semua pekerja melengkapkan vaksin adalah terlalu singkat.

“Ia menyebabkan majikan berada dalam dilema mengambil kira jumlah besar pekerja bukan tempatan yang dimiliki mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketiadaan PIKAS di Sandakan, jelasanya menyukarkan majikan melaksanakan vaksinasi untuk pekerja asing, lebih-lebih lagi ramai di antara mereka tidak memiliki telefon pintar dan dokumen yang diperlukan.

Boon Thian berkata ramai pekerja yang sudah mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera juga belum lagi menerima tarikh temujanji untuk vaksinasi, manakala vaksinasi secara terus atau tanpa temujanji di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) hanya diberikan kepada warga tempatan.

“Alternatif lain iaitu dengan membayar bagi mendapatkan vaksin di klinik swasta untuk pekerja juga berdepan halangan kerana jumlah vaksin tidak mencukupi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri wajar memanjangkan tempoh kelonggaran kepada pekerja belum lengkap vaksin bagi mengelak syarikat terpaksa menutup operasi selepas 15 September depan.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, pada 16 Ogos lalu menyatakan bahawa sektor pembinaan, pembuatan dan perlombongan dibenarkan beroperasi secara penuh apabila jumlah pekerja lengkap vaksin mencapai 80 peratus.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|