Lajim Ukin ditidurkan akibat jangkitan Covid-19

Lajim Ukin ditidurkan akibat jangkitan Covid-19

Kota Kinabalu: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Lajim Ukin, kini dilaporkan tenat akibat dijangkiti Covid-19.

Bekas Ahli Parlimen Beaufort yang juga Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu dilaporkan terpaksa ditidurkan sejak tengah hari tadi berikutan keadaan kesihatannya yang merosot.

Situasi Timbalan Ketua BERSATU Beaufort itu disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias yang juga Ketua BERSATU Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih.

“Ya, beliau kini sakit tenat akibat jangkitan Covid-19. Beliau sudah lapan hari dimasukkan ke Hospital KPJ dan baru-baru ini dia ada memaklumkan bahawa dia sudah sihat dan mahu pulang (ke rumah),” katanya.

Bagaimanapun, katanya keadaan kesihatan Lajim dilaporkan merosot sejak semalam sebelum pihak hospital memaklumkan terpaksa menidurkannya sebelum tengah hari tadi.

Isnin berkata, beliau sendiri melihat keadaan Lajim yang tenat melalui panggilan video pada kira-kira jam 10 pagi tadi.

Lajim yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah difahamkan dimasukkan ke Hospital KPJ, di sini sejak 13 Ogos lalu selepas disahkan positif Covid-19 sehari sebelum itu.

Difahamkan, Lajim ada mengikuti lawatan kerja kerajaan negeri di Kudat sebelum mengadu tidak sihat ketika berada di rumahnya pada 12 Ogos lalu dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Berita mengenai Lajim dijangkiti Covid-19 dikongsi Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun melalui laman Facebook beliau sambil meminta orang ramai sama-sama mendoakan kesihatan Lajim.

Azizah turut berkongsi maklumat mengenai penganjuran majlis bacaan Yassin dan doa selamat untuk Lajim yang diadakan secara dalam talian malam ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|