Covid-19 Sabah: Kes melonjak melepasi 3,000 hari ini

Covid-19 Sabah: Kes melonjak melepasi 3,000 hari ini

Kota Kinabalu: Kes harian Covid-19 di Sabah melonjak mendadak hingga mencapai 3,376 kes hari ini, rekod tertinggi sejak pandemik merebak ke negeri ini sejak lebih setahun lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes hari ini bertambah sebanyak 902 berbanding 2,474 kes yang dilaporkan semalam.

Jelasnya peningkatan itu antara lain disumbang pertambahan kes yang tinggi di beberapa daerah dengan Tuaran mencatat peningkatan terbanyak iaitu 262 kes kepada 438 kes hari ini.

“Kota Kinabalu bagaimanapun masih mencatat jumlah kes tertinggi dengan 741 kes, diikuti Tuaran (438), Penampang (335), Papar (257), Sandakan (209), Tawau (179), Sipitang (146), Putatan (134), Lahad Datu (132), Keningau (126), Beaufort (122) dan Kinabatangan (107),” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sabah turut merekodkan sebanyak 17 lagi kes kematian hari ini iaitu enam kes di Sandakan, empat kes di Tawau, masing-masing dua kes di Kota Kinabalu dan Kinabatangan, manakala Semporna, Sipitang dan Tambunan masing-masing mencatat satu kes kematian.

Satu kluster baharu dinamakan Kluster Sungai Pin 3 di Kinabatangan turut dilaporkan hari ini, berkaitan jangkitan tempat kerja di sebuah ladang kelapa sawit di Mukim Sukau dengan kumulatif sebanyak 55 kes termasuk 52 kes baharu.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata sebanyak 430 kes atau 12.7 peratus daripada jumlah kes hari ini adalah kes daftar lewat melebihi lima hari, manakala 414 kes atau 12.3 peratus keputusan saringan didaftar lewat antara empat hingga lima hari dan 1,286 kes atau 38.1 peratus adalah kes positif yang lewat didaftar antara dua hingga tiga hari.

“Sebanyak 2,094 kes hari ini atau 62 peratus pula adalah daripada saringan kontak rapat, diikuti 784kes atau 23.2 peratus melalui saringan bergejala dan 164 kes atau 4.9 peratus dikesan melalui saringan kluster.

“Sejumlah 3,316 kes atau 98.2 peratusadalah daripada kategori satu dan kategori dua dengan pecahan sebanyak 1,210 kes kategori satu, manakala sebanyak 2,106 kes dalam kategori dua, diikuti tujuh kes dalam kategori tiga, satu kes dalam kategori empat dan 10 kes dalam kategori lima,” katanya

Beliau berkata hampir 65 peratus daripada individu yang dijangkiti Covid-19 hari ini adalah golongan berumur 17 tahun hingga 59 tahun, diikuti 639 orang atau 19 peratus umur enam tahun hingga 17 tahun.

Selain itu, katanya seramai 296 orang atau 8.8 peratus yang dijangkiti Covid-19 hari ini adalah daripada golongan berumur setahun hingga lima tahun dan 227 kes atau 6.7 peratus terdiri daripada golongan berumur 60 tahun ke atas.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|