Tawau: Tiga lelaki warga asing termasuk dua remaja berusia 14 dan 17 tahun ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup rokok tanpa cukai di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Kalabakan, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 9.30 pagi itu, ketiga-tiga warga Filipina itu yang menaiki Isuzu DMax cuba melalui sekatan jalan berkenaan namun ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, sebaik pemeriksaan dijalankan, pasukan operasi Batalion 14 PGA dan RELA menemui dua beg berisi 70 rokok jenama LA.
Katanya, semua rokok berkenaan dipercayai dibawa masuk ke negara ini secara haram dan tanpa cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Semua lelaki termasuk pemandu berusia 39 tahun terus ditahan untuk membantu siasatan selanjutnya.
“Rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM9,184 berdasarkan harga pasaran semasa dan ia menjadikan jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan mencecah RM144,184,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Rani berkata, semua suspek dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk urusan laporan dan dokumentasi.
“Mereka turut diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada JKDM untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
-Deasoka