Keningau: Lima rumah jenis tidak kekal terbakar dalam kejadian di Kampung Patikang Ulu, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, semua rumah berkeluasan 185 meter persegi berkenaan musnah sepenuhnya selepas operasi pemadaman berjalan lebih sejam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, api masih marak membakar semua rumah berkenaan dan operasi pemadaman terus dijalankan.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan sepanjang 100 meter dari sumber air tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 6 pagi.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 6.23 pagi,” katanya.
-Deasoka