Pemandu lori parah tersepit dalam kenderaan

Pemandu lori parah tersepit dalam kenderaan

Tawau: Seorang pemandu lori tiga tan parah apabila tersepit di dalam kenderaannya selepas bertembung dengan sebuah lori 10 tan di pusat pemeriksaan Jalan Semporna-Tawau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, pemandu lelaki yang berusia 73 tahun terbabit dilaporkan mengalami kecederaan patah tangan dan kaki kanan.

Pasukan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam sebuah lori tiga tan. Gambar ihsan Bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.28 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lori tiga tan masih berada di dalam kenderaan dan usaha mengeluarkan mangsa tersepit terus dijalankan.

“Sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa yang mengalami kecederaan terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang patah tangan dan kaki kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan Ambulans untuk mendapat rawatan selanjutnya.

Katanya, pemandu lori 10 tan tidak mengalami sebarang kecederaan dan pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 9.55 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|