ST baiki sistem pendawaian Tabika, rumah penduduk di Keningau

ST baiki sistem pendawaian Tabika, rumah penduduk di Keningau

Keningau: 18 pemilik rumah dan tenaga pengajar di dua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menarik nafas lega apabila Suruhanjaya Tenaga (ST) membaiki sistem pendawaian yang sudah usang.

Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Sabah (STPBS), Jefrey Nuri berkata, pembaikan sistem pendawaian itu dilakukan melalui program Touchpoint ST.

“Pembaikan sistem pendawaian ini membabitkan Tabika KEMAS di Kampung Malidang dan Kampung Tuntumulud, serta beberapa rumah penduduk, di sini.

“Penerima ini adalah terdiri daripada penerima bantuan e-kasih iaitu warga emas, miskin tegar dan ibu tunggal yang dipilih sebagai salah satu daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) program Touchpoint ST,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.

Katanya lagi, program Touchpoint ini melibatkan kerja-kerja penambahbaikan terhadap sistem pendawaian sedia ada yang usang dan juga pemasangan sistem pendawaian baharu bagi premis yang masih belum mempunyai bekalan elektrik.

“Sistem pendawaian yang rosak telah dibaiki dan Peranti Arus Baki (PAB) pada Papan Agihan (DB) premis yang didapati tidak menepati standard turut diganti dengan kelengkapan yang diluluskan oleh ST.

“Kerja-kerja penambahbaikan ini dilaksanakan oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST serta melibatkan pelatih-pelatih dari Pusat GiatMARA Keningau,” katanya.

Sehubingan itu, Jefrey menekankan bahawa sistem pendawaian di kediaman harus dipasang selaras dengan kehendak Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Peraturan-Peraturan Elektrik serta mematuhi keperluan teknikal standard yang ditetapkan ST.

“Ini termasuklah pemasangan alat perlindungan PAB yang bersesuaian dan berkesan bagi melindungi pengguna daripada renjatan elektrik sekiranya berlaku kebocoran arus atau litar pintas,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan pengguna supaya sentiasa peka dengan aspek keselamatan elektrik termasuk membabitkan peralatan elektrik.

“Pengguna hendaklah membeli kelengkapan elektrik yang mempunyai label ST-SIRIM, tidak sesekali membuat ubah suai kelengkapan elektrik yang rosak, elakkan daripada mengguna kelengkapan elektrik dalam keadaan basah, tidak menghampiri talian atas elektrik semasa menjalankan aktiviti memotong dahan pokok, mengait buah-buahan, memancing dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Jefrey memaklumkan program Touchpoint di Pantai Barat Sabah itu merupakan sebahagian daripada usaha ST untuk meningkatkan kesedaran orang awam berhubung keselamatan elektrik.

“Disamping itu turut membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk memastikan pendawaian elektrik di premis yang mereka duduki berada dalam keadaan selamat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|