Amri, Thanabalan kekal bersama Sabah FC

Amri, Thanabalan kekal bersama Sabah FC

Kota Kinabalu: Tiga pemain Sabah FC musim ini termasuk penyerang berpengalaman, Amri Yahyah disambung kontrak untuk bersama pasukan dalam aksi Liga Super 2022.

Dua lagi ialah N Thanabalan dan Ummareng Bacok.

Amri, 41 dan Ummareng, 27, beraksi hampir dalam semua perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini, manakala Thanabalan, 26, yang berdepan kecedaraan ketika awal kemasukannya diturunkan pada akhir musim hingga ke aksi suku akhir Piala Malaysia 2021.

Ramai penyokong Sabah FC mahukan Amri dikekalkan berikutan reputasinya sebagai pemain berpengalaman walaupun sudah berusia empat dekad dan menjadi pemain paling senior dalam pasukan.

Bekas pemain Selangor dan Sarawak United itu yang menyertai Sabah FC awal tahun ini adalah antara pemain yang banyak menyumbangkan gol kepada skuad Sang Badak sepanjang musim ini.

Thanabalan pula dilihat memiliki kebolehan mengkucar-kacirkan barisan pertahanan lawan selain mencipta peluang melalui larian kencangnya memikat Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee untuk terus mendapatkan khidmatnya pada musim depan.

Sementara itu, dua lagi pemain baharu diumumkan secara rasmi menyertai skuad Sang Badak pada musim depan iaitu bekas pemain pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Rizal Ghazali dan bekas penjaga gol Negeri Sembilan FC, Damien Lim.

Rizal, 29 juga adalah pemain skuad kebangsaan yang bermain di posisi pertahanan kanan, manakala Damien sebelum ini menjadi sandaran utama pasukan Negeri Sembilan FC yang berjaya menjuarai Liga Premier 2021.

Dalam pada itu, bekas pemain Sabah FC, Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli yang sebelum ini berkhidmat untuk Sarawak United disahkan secara rasmi kembali menyarung jersi skuad Sang Badak untuk musim depan.

Pemain pertahanan berumur 28 tahun yang berasal dari Penampang itu pernah menyarung jersi pasukan Sabah FC pada musim 2014/2015 sebelum memilih untuk menimba pengalaman beraksi bersama psukan PJ Rangers pada 2016.

Setakat ini seramai 10 pemain sudah diumum secara rasmi bakal menyertai Sabah FC untuk aksi Liga Super musim depan dengan empat daripadanya termasuk dua pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar dan Dominic Tan diumumkan kelmarin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|