Labuan: Dua murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Sekolah Kebangsaan (SK) Rancha-Rancha, muncul naib johan pertandingan Program Pembelajaran Pendidikan Drone Edu Challenge IR 4.0 2021 (DEC4IR) peringkat kebangsaan, baru-baru ini.
Murid terbabit, Muhammad Fahri Musafandi dan Muhammad Asyraf Afham Mohd Amyzul secara tidak langsung turut mengharumkan nama Labuan, khususnya dalam PPKI.
Pertandingan itu dianjurkan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama dan inisiatif Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Jabatan Pendidikan Negeri Johor sebagai tuan rumah yang diadakan secara dalam talian.
Ia merangkumi program pembelajaran dan pertandingan mengenai teknologi dron serta teknologi revolusi industri ke-4.
Pelaksanaannya dibuat secara dalam talian sepenuhnya tanpa perjumpaan fizikal yang merangkumi webinar bersiri disampaikan oleh pakar akademik dan industri, siri penilaian berbentuk aktiviti kuiz dan tugasan serta sesi temu bual bersama panel pakar dari industri dan akademik.
Penyertaan sulung kumpulan dua murid terbabit membuahkan hasil berikutan minat mereka dalam menghasilkan projek ‘Drone Idamanku’ bertemakan pertanian untuk dipertandingkan.
Hasil kerja keras mereka selama enam bulan bersama guru pembimbing, Agustin Bernad Patung Stevanus tidak sia-sia.
Hasil kejayaan itu, mereka menerima hadiah galakan berupa wang tunai beserta trofi kemenangan daripada pihak sekolah.
Guru besar SK Rancha-Rancha, Norinnie Kassim, berkata kejayaan dua murid PPKI sekolah berkenaan amat membanggakan kerana mereka berjaya mendapat tempat kedua mengetepikan lebih 10 penyertaan dari seluruh negara.
“Saya berharap agar kemenangan ini akan memberi suntikan motivasi kepada murid lain terutama Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang lain, agar sentiasa berusaha melakukan yang terbaik supaya memberi kebaikan kepada diri mereka sendiri,” katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Pendidikan Khas SK Rancha-Rancha, Rodhy Edward Anak Edward Jalin, mengharapkan agar MBK sentiasa diberi peluang dan diberikan ganjaran sama seperti murid arus perdana.
“Jangan melihat kepada kekurangan tetapi lihat kepada kesungguhan bersaing,” katanya.
-Deasoka