Pengurus Besar Pertubuhan Peladang tidak mengaku salah dapatkan RM8,000

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang tidak mengaku salah dapatkan RM8,000

Tawau: Seorang Pengurus Besar Pertubuhan Peladang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendapatkan suapan sebanyak RM8,110 di Mahkamah Khas Rasuah Tawau, di sini, hari ini.

Tertuduh Ahmad Rudi Ab Rashid, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Menurut pertuduhan, tertuduh pada 26 Februari 2019 di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Semporna, di Semporna sebagai Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Gred E29 yang bertugas sebagai Pengurus Besar di Pertubuhan Peladang Kawasan Semporna telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan.

Suapan itu adalah untuk tertuduh sendiri bernilai RM 8,110 dengan meluluskan Baucar Bayaran bernilai RM 8,110 kepada syarikat Pemborong Putramas yang dimiliki oleh Mohamad Sadeed Mohamad Said untuk bayaran penyediaan keperluan sempena lawatan mesyuarat seramai 30 orang pada 28 hingga 31 Oktober 2018.

Bagaimanapun, kerja-kerja itu telah dilakukan oleh tertuduh sendiri dan dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM 8,000 dengan deposit sebanyak RM 4,000 deposit bersama seorang penjamin tempatan selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap dua bulan, menyerahkan pasport serta dilarang mendekati saksi.

Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan untuk pengurusan kes pada 24 Februari depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Norsham Saharom dan tertuduh tidak diwakili peguam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|